SepuluhRibu. Sebuah antologi – memuatkan sepuluh cerpen, di dalamnya terkandung sepuluh cerita, lahir daripada sepuluh penulis yang berbeza. Mulanya, terdetik juga tanda tanya. Kenapa ‘SepuluhRibu’? Antologi ini sepertinya permulaan bagi beberapa penulis yang sebelumnya hanya menulis di ruang ruang peribadi mereka sahaja. Jadi, aku kira ini merupakan langkah awal buat mereka mereka yang mahu menulis secara serius.
SepuluhRibu, seperti kata penyuntingnya, Wani Ardy. Beliau percaya pada kuasa kali pertama dan kuasa kesilapan yang sebenarnya merupakan titik mula bagi segala sesuatu.
SepuluhRibu tidak lah begitu menyeronokkan untuk dibaca. Ya, aku beberapa kali terhenti daripada membacanya kerna SepuluhRibu belum mampu untuk merembeskan berahi berahi yang bisa buat aku duduk terpaku, tekun menyelak helaian demi helaian. Apa pun, harus diingat, antologi ini bagai satu spesimen ujikaji. Untuk mengharapkan yang tinggi tinggi, itu sebenarnya tidak lah patut. Tetapi untuk percubaan kali pertama, serasanya SepuluhRibu punya kekuatan yang tersendiri.
SepuluhRibu punya kepelbagaian. Tidak hairan lah, dengan gabungan sepuluh penulis membuatkan antologi ini bagai sebuah buku yang penuh dengan contengan warna. Gabungan warna ini lah yang beri nafas kepada SepuluhRibu dalam menghidupkan lakaran lakaran setiap penulis.
SepuluhRibu. Punya sepuluh gambar yang diberi kepada sepuluh penulis untuk dijadikan sepuluh cerita. Aku kira ini menarik. Bagaimana setiap gambar itu akan dilakarkan ceritanya mengikut terjemahan penulis untuk disajikan kepada pembaca. Satu konsep idea yang hebat bagi aku.
SepuluhRibu. Garapan cerpen daripada beberapa penulis aku lihat seperti agak terkongkong dan menindas. Beberapa cubaan untuk menjadikan tulisan mereka tidak klise tetapi malangnya, tidak berjaya. Kerna pada aku, tulisan yang menarik itu sebenarnya tulisan yang terpencar ceritanya. Dalam kata ini, tulisan yang mampu bawa bermacam rasa dan buat pembaca terjatuh ke dalam imaginasi penulis.
SepuluhRibu sepertinya punya penulis yang bercita tinggi. Cerita yang punya cerita dalam cerita. Aku kira ini sangat menarik. Tetapi malangnya, cerita dalam cerita itu tidak punya arah dan boleh jadi, sesat. Lakaran cerita hanya berkisar tentang kesungguhan dan kebuntuan yang dialami. Ya, aku boleh habiskan lakaran cerita penulis dan jadikan ia lukisan dalam kotak fikiran aku. Tetapi, hasil lukisan cerita itu tidak lah cantik dan lebih buruk lagi, bisa buat aku menyampah.
SepuluhRibu juga memperlihatkan penulis penulis muda yang berbakat. Cumanya, beberapa tulisan aku lihat seperti menindas. Terlalu risau akan plot dan jalan cerita buat tulisan tulisan itu terhimpit. Kadang, satu satu tulisan yang lepas bebas juga lebih seronok dibaca. Hidup juga begitu bukan? Sedikit rancangan dan yang selebihnya, biarkan ia berlaku secara spontan.
SepuluhRibu. Origami Bintang. Entah kenapa, aku suka dengan tajuknya. Bukan itu sahaja, ceritanya juga bagi aku agak menarik. Origami Bintang mungkin kelihatan agak klise, dengan jalan cerita yang sebegitu. Tetapi, dari satu sisi yang lain, Origami Bintang punya satu percikan warna yang buat aku tertarik. Mungkin kerna cerita itu sampai kepada aku. Atau mungkin kerna kebebasan yang diberi penulis kepada watak dalam menggunakan kata ganti nama. Aku kira itu sangat menarik.
SepuluhRibu. “Satu gambar melukis seribu perkataan. Sepuluh gambar melakar sepuluh ribu kesilapan”.
Tulus dari aku, seorang yang pernah membaca SepuluhRibu.
pascaskrip – ini cuma lah pendapat peribadi yang datang terus dari hati. Moganya, pada masa mendatang, lebih banyak tulisan akan kalian hasilkan buat tatapan kawan kawan di luar sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan