“Seorang yang, walaupun lengkap inderanya kadang hanya dapat melihat kilat yang menyambar tanpa dapat mendengar guruhnya, kadang hanya dapat mendengar guruh yang berdentum tanpa dapat melihat kilatnya.”
Melewati Syaaban lalu melangkah masuk ke Ramadan sepertinya satu nikmat kurnia yang paling enak buat mereka yang tertunggu tunggu. Tertunggu dalam erti kata merindui gerangan yang dinamakan Ramadan ini. Gerangan yang dikatakan punya seribu satu macam kurnia yang tersemat di dalamnya, yang terpelihara dan terpulihara, yang mendahului segala yang lain. Ramai yang bertemu dengan Ramadan, dengan menanam pelbagai tekad – halnya serupa, menjadi lebih baik. Dan tidak kurang juga yang membiarkan Ramadan itu berselisih pergi begitu saja.
Memerhatikan suasana Ramadan seolah melihat satu temasya yang berlangsung 30 hari lamanya. Dan apa yang tidak bagus tentang temasya adalah manusia itu sering saja terlupa seterusnya menjadi keterlaluan dalam merayakannya. Hal ini berlaku di mana mana saja, tidak mengira latar – contoh; tempat dan budaya. Tema buat temasya kali ini sama seperti kebiasaan dan tidak berubah sejak lebih 14 jam yang lalu (satu jam mewakili seratus tahun) iaitu ‘menahan diri’ baik dalam konteks rohani mahupun jasmani.
Ada pun begitu, umat ini tidak lah hanya terikat pada satu belenggu sahaja, malah barangkali lebih daripada sepuluh! Belenggu belenggu yang ditanam atau tertanam ini sepertinya menyekat umat ini daripada menjadi manusia yang dapat menggunakan indera mereka secara penuh. Dan kita berbalik semula pada perihal yang utama tadi – keterlaluan (atau berlebih lebihan).
Ya, sudah tentu Ramadan itu merupakan tamu yang kehormat. Dan sudah menjadi lumrah, untuk bertemu dengan tamu yang bukan calang calang ini harus lah menjaga daripada pelbagai segi – cara berkelakuan, berpakaian dan pelbagai lagi. Tetapi, soal adab ini juga yang menjadi perosak keharmonian dalam pertemuan singkat dengan Ramadan.
Berlumba lumba mengerjakan aturan, itu semestinya bagus malah perlu digalakkan. Merunsingkan apabila dalam perlumbaan itu, terselit angkuh yang menindas. Dan yang menindas itu lah keterlaluan! Sering kedengaran khutbah khutbah percuma di mana saja baik secara nyata atau maya. Khutbah yang diselingkuh rasa angkuh itu kedengarannya lebih menjengkelkan daripada menyegarkan. Nasihat bukan lah nasihat malah menjadi cerca. Umat yang memberi nasihat pula seolahnya bersuara atas kapasiti sebagai Langit itu sendiri, bukan sebagai seorang penyampai (atau pembimbing).
Menjadi hal yang mustahak juga untuk dilihat ialah gejala penyembahan kepada borongan. Mana mungkin dalam keadaan menahan diri ini, umat masih dibelenggu dengan kehendak kehendak yang menggila. Realiti yang jelas dan dampak boleh diperhatikan sekitar dua atau tiga jam sebelum masuknya kewajipan yang keempat di pasar pasar jualan. Membeli secara keterlaluan dan pada akhirnya, tidak habis dan terbuang begitu saja. Alasan mereka, mahu beri pendapatan lebih kepada para peniaga. Sodaqoh tambah mereka lagi. Sedekah yang bagaimana mereka maksudkan jika pembaziran akibat kehendak berlaku?
Seperti pepatah lama kaum Melayu, “buat baik berpada pada, buat jahat jangan sekali”. Nah. Sudah terlihat bagaimana pentingnya untuk setiap manusia berlaku sederhana dan tidak berlebih lebihan. Berbuat baik itu bagus, tetapi terlalu baik boleh menghancurkan. Baik yang keterlaluan, boleh jadi akan dipergunakan atau lebih buruk lagi, menindas.
Jadi antara dua sisi baik dan jahat tidak patut wujud kecenderungan yang ekstrem ke mana mana kutub tersebut. Mengambil jalan tengah dalam usaha untuk mententeramkan hukum Langit dan kecamuk akal manusia supaya tidak berlaku penindasan antara satu dengan yang lainnya.
Dan peri penting keduanya itu saling berkait – tersangat rapat sebenarnya. Untuk kita mengetahui bahwa Langit itu sebenarnya wujud, kesemua deria perlu diguna untuk merasa kewujudan Langit. Dan tulisan biografi tentang Langit itu sebenarnya sudah ada untuk umat lebih mengerti dalam usaha untuk meyakini.
Moganya, kita semua tidak pekak dalam kebisingan, tidak kejang dalam pengejaran dan tidak juga buta dalam kecerahan. Jangan dijadikan ‘cara hidup’ sebagai suatu yang membelenggu kembali hidup kita pada kemudian hari.
Selamat berkasih kasihan dengan Ramadan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan