Semalam, penulis melawat ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan sendiri apa perkara yang berlaku di sana, tidak mahulah hanya dengan membaca timeline Twitter mahupun Malaysiakini. Menurut pemerhatian penulis, terdapat satu trend yang sejak dari dulu lagi kekal menjadi trend dalam kelompok aktivis mahasiswa (ketepikan Pergerakan Occupy terlebih dahulu), pidato sehala.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, pidato merupakan sejenis pengucapan awam yang tidak interaktif dan bersifat sehala. Sejak dari dulu, demonstrasi kebebasan akademik, kini, di Dataran Merdeka, sesi berpidato telah menjadi satu kemestian sekiranya sesuatu protes atau demo itu melibatkan aktivis mahasiswa.
Permasalahannya di sini, apabila kita hanya sekadar berpidato (dan mengharapkan sorakan dan sambutan orang ramai), percambahan ilmu dan maklumat itu tidak dapat berlaku secara menyeluruh. Kita ambil contoh sekiranya pemidato berbicara tentang isu pemansuhan PTPTN, input yang pendengar bakal dapat hanyalah apa yang si pemidato tahu, itu pun kalau bernasib baik sekiranya apa yang dipidatokan itu berbentuk fakta ataupun ide. Malang sekiranya apa yang dipidatokan itu berbentuk spekulatif, sekaligus orang ramai yang mendengarnya hanya akan menerima input yang spekulatif sahaja.
Melalui penulisan yang tak seberapa ini, penulis cuba untuk menerapkan nilai berbincang atau berdebat, ataupun sekurang-kurangnya sesi soal jawab dalam sesuatu sesi berpidato. Hal ini bagi memberikan kebebasan untuk hadirin berfikir, menganalisa apa yang didebatkan/dibincangkan, sekaligus dapat memberikan input yang lebih banyak kepada masyarakat. Maklumlah, kita nak mencapai Wawasan 2020, perlukan modal insan yang berilmu, dan selain daripada metod pembelajaran di dalam dewan kuliah, perkara sebegini pun mampu mengasah minda masyarakat ke arah yang lebih matang.
Jika perkara 'pidato sehala' ini berterusan, tak ada bezalah aktivis mahasiswa ini dengan ahli-ahli politik yang bertebaran di luar sana. Cakap berdegar-degar, tapi tidak ada ruang untuk berdiskusi.
Benarlah apa yang pak-pak menteri cakap, berdebat bukan budaya kita. Akan tetapi, penulis sangat berharap agar budaya berdebat ini dapat dijadikan sebagai norma, bukan sahaja melalui pertandingan debat ala parlimen yang penuh dengan 'propaganda'.
hidup dalam quick-fix society memang selalu akan ketemu masalah begini. pengalaman saya dalam pergerakan bahkan menampakkan betapa proses perbincangan itu seboleh2nya di pendekkan dan dipercepatkan demi mencapai kata putus yang boleh diterima semua. dalam proses sebegini, jarang ada yang membantah, bahkan yang memberi idea pula seringkali merupakan orang yang sama. - Amir Farid
BalasPadam