30 Apr 2012

Taat HAMBA kepada TUAN

Thomas Hobbes merupakan seorang filsuf yang terkenal dengan karya agungnya iaitu Leviathan. Leviathan merupakan seekor raksasa laut yang sangat berkuasa dan menjadi lambang kepada entiti yang diangkat untuk menjaga kestabilan sosial dalam satu satu Negara. Hidup dalam zaman peperangan sekaligus mempengaruhi pemikiran beliau.

homo homini lupus
 
Maksudnya manusia merupakan serigala bagi manusia yang lainnya. Hobbes melihat bahawa seorang manusia itu dilahirkan dengan sifat bermusuh yakni membahayakan sesama mereka. Jadi, perlu untuk diwujudkan satu kuasa mutlak dalam menjaga keamanan dan keharmonian Negara supaya tidak berlaku pergaduhan dalam masyarakat.
 
Teori kontrak sosial. Cara pelaksanaan dalam memilih pemerintah itu perlulah melalui proses konsensus dan kesepakatan antara individu yang menghuni konstruk sosial atau masyarakat dan secara tidak langsung telah mewujudkan satu kontrak sosial. Baginya, sesuatu Leviathan itu perlulah diangkat berasaskan kepercayaan masyarakat lalu mengorbankan sebahagian kebebasan mereka dan ditukar dengan jaminan keselamatan daripada Leviathan itu.

Hobbes menggunakan kaedah yang disebut sebagai logik negatif iaitu dengan melihat sesuatu itu daripada kosong(tiada). Dalam konteks ini, dalam usaha untuk melihat fungsi negara, haruslah dibubarkan dahulu negara tersebut terlebih dahulu(dalam minda). Jadi, apabila sudah terlihat akan fungsi dan kepentingannya, barulah sesuatu Negara itu akan tertubuh.
 
Absolutisme. Kerajaan mempunyai kuasa mutlak dalam menjaga keselamatan Negara serta mengelakkan berlakunya perang saudara dalam Negara tersebut. Ini berkait dengan saranan dalam prinsip rasional yang dibawa oleh beliau iaitu rakyat harus menerima otoriti politik kerajaan yang bersifat mutlak. Prinsip rasional ini juga untuk menjamin bahawa satu satu kerajaan itu akan bertahan dengan lama dan mengelakkannya daripada jatuh musnah. Juga, masyarakat perlu diingatkan dan disedarkan tentang 'sejarah derita' yang mungkin pernah berlaku dan menghantui mereka supaya pemberontakan tidak berlaku. 

Otoriti pemerintah yang disarankan juga memberi satu satu kerajaan itu kuasa mutlak dalam menjaga kestabilan sosial. Menggunakan nama keamanan, walau apa cara sekalipun yang diguna akan dilihat sebagai halal.

Ketaatan politik(political obedience) dan kewajipan politik(political obligation) berkait rapat dalam menjaga keamanan. Rakyat perlu lah menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi dalam mendapatkan kewajipan kerajaan untuk melindungi mereka. Jika sekiranya rakyat itu tidak taat, maka kerajaan tidak mempunyai kewajipan untuk melindungi mereka dari segala aspek. Jadi, atas nama keamanan, kerajaan dibolehkan untuk menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang tidak patuh. Itu menjelaskan perkaitan dan hubungan antara ketaatan politik oleh rakyat dengan kewajipan politik yang perlu ditunaikan daripada kerajaan.
 

Sungguh mengecewakan apabila seseorang yang berstatus pensyarah tak dapat menjelaskan perkara ini kepada pelajarnya. Hal menjadi lebih mengecewakan apabila sifat profesionalisme yang sepatutnya dijunjung oleh seorang ahli akademik itu ditolak ke tepi semata mata kerana ketaatan kepada tuannya yang dilihat sebagai maksum. Rasional-instrumental serta aparatus yang berkaitan dengan teori falsafah Hobbes tak dijawab dengan profesional malah lebih teruk lagi, pelajar itu dihunjam dengan serangan yang bersifat dangkal hanya kerana isu yang dikaitkan itu terlalu besar.

Pensyarah tersebut bukan saja tak menjawab soalan malah secara terang terangan mempertahan tuannya berkaitan insiden yang berlaku pada 28 April yang lalu. Beliau yang dilihat sebagai seorang hamba yang taat menggunakan pendekatan yang dibawa oleh Hobbes dengan hujah yang tak masuk akal dan cetek. Penerangannya lebih menjurus kepada ceramah seorang politikus yang menyembah kepada satu bendera parti dan tidak seperti seorang pensyarah yang berkaliber.
 
Malahan, yang paling mengecewakan ialah apabila beliau dengan selamba memberitahu pelajarnya supaya bertanyakan soalan tersebut kepada yang lebih pakar. Masalahnya, jika beliau bukan seorang yang pakar, bagaimana beliau boleh diletakkan untuk mengajar subjek tersebut? Apakah nilai seorang ahli akademik itu wujud dalam diri beliau? Adakah beliau sedar yang beliau telah memalukan diri sendiri dan juga seluruh ahli akademik disebabkan jawapan bodoh yang beliau beri?
 
 
Jadi, saya selaku salah seorang yang gelisah dengan perjalanan akademik di universiti mengajak rakan rakan untuk menuntut kembali kebebasan akademik yang telah sekian lama dirompak oleh mereka. Tuntut pengajar yang berkualiti, bukan pembela politisi! Tuntut kebebasan berdiskusi, bukan kecaman keji! 
 
Sudah masanya untuk saya dan anda anda semua berdiri dan merobohkan tembok tinggi penjara yang telah sekian lama membelenggu kita semua. Jadi, tunggu apa lagi? Ayuh!







Tiada ulasan:

Catat Ulasan