19 Apr 2012

DUDUK BANTAH : Mengapa Anda Perlu TURUN?


Sejak 4 April yang lalu, sudah heboh diperkatakan perihal Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April ini di Dataran Merdeka. Kali ini, Bersih 3.0 dipengerusikan oleh Dato' A. Samad Said yang merupakan sasterawan negara. Pelbagai respon, spekulasi dan tak kurang juga cemuhan telah disuarakan.

Tak perlu dihuraikan dengan lebih lanjut tentang 8 tuntutan tersebut. Kewajaran untuk mengadakan Bersih 3.0 juga turut dipersoalkan. Berkenaan Parliamentary Select Committee(PSC) : On Electoral Reforms, terdapat dua percanggahan hujah antara Barisan Nasional(BN) dan Pakatan Rakyat(PR). 

Pihak BN mengatakan bahawa hanya SATU TUNTUTAN yang TIDAK DIPENUHI iaitu tempoh minima kempen 21 hari. 

Manakala di pihak PR pula, mereka mengatakan hanya SATU TUNTUTAN sahaja yang telah DIPENUHI yakni penggunaan dakwat kekal.

Sebagai salah seorang individu dalam masharakat warga yang teruk terjejas di negara ini, kita tak dapat lari daripada terpengaruh dengan salah satu propaganda, baik daripada BN mahupun PR. Penting untuk diambil perhatian, pergulatan antara kedua  dua kuasa tersebut tak perlu kita kisahkan. Perkara pokok di sini ialah, tugas kita selaku individu prihatin yang menghuni dalam satu komuniti, masyarakat dan seterusnya negara. 

Jadi, mengapa anda perlu turun ke Dataran pada 28 April ini?

Tugas anda selaku warganegara meletakkan satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul. Bahkan, bukan anda seorang sahaja, tetapi juga saya dan seluruh individu yang bergelar rakyat Malaysia. Selaku seorang warganegara yang bertanggungjawab, adalah perlu untuk anda memastikan bahawa Negara dipilih, ditadbir dan dikelola oleh pemerintah yang anda rasakan paling layak melalui proses pemilihan yang ADIL. Tak dapat disangkal, sistem pilihanraya di negara kita terlalu banyak kepincangannya. Menjadi tanggungjawab kita selaku warga yang prihatin untuk menuntut satu proses yang adil dan tidak berat sebelah. Ya, itu tanggungjawab kita bersama, bukan orang lain lagi.

Selaku individu yang hidup pada zaman yang mana perkataan 'Demokrasi' itu acap kali dilaungkan, adalah perlu untuk kita fahami apa itu sebenar benarnya demokrasi. Juga bagaimana kita selaku warga yang bertanggungjawab, memastikan demokrasi itu wujud di negara yang kian parah ini. Usah bilang anda seorang penganjur demokrasi jika anda tak nampak kepincangan, penyelewengan serta kebobrokan yang berlaku dalam sistem pilihanraya negara ini.



Bersih 3.0 merupakan sebuah ruang untuk anda menyatakan pendirian anda dengan lantang supaya didengar oleh 'mereka' yang di atas sana. Jangan terlalu selesa dengan kenikmatan tak seberapa yang sedang anda nikmati sekarang.

Ayuh! Jumpa anda di Dataran 28 April ini.

1 ulasan:

  1. kita turun kerana beredemo itu menggairahkan. kita lawan kerana kita cerdik. - Amir Farid

    BalasPadam