30 Apr 2012

Taat HAMBA kepada TUAN

Thomas Hobbes merupakan seorang filsuf yang terkenal dengan karya agungnya iaitu Leviathan. Leviathan merupakan seekor raksasa laut yang sangat berkuasa dan menjadi lambang kepada entiti yang diangkat untuk menjaga kestabilan sosial dalam satu satu Negara. Hidup dalam zaman peperangan sekaligus mempengaruhi pemikiran beliau.

homo homini lupus
 
Maksudnya manusia merupakan serigala bagi manusia yang lainnya. Hobbes melihat bahawa seorang manusia itu dilahirkan dengan sifat bermusuh yakni membahayakan sesama mereka. Jadi, perlu untuk diwujudkan satu kuasa mutlak dalam menjaga keamanan dan keharmonian Negara supaya tidak berlaku pergaduhan dalam masyarakat.
 
Teori kontrak sosial. Cara pelaksanaan dalam memilih pemerintah itu perlulah melalui proses konsensus dan kesepakatan antara individu yang menghuni konstruk sosial atau masyarakat dan secara tidak langsung telah mewujudkan satu kontrak sosial. Baginya, sesuatu Leviathan itu perlulah diangkat berasaskan kepercayaan masyarakat lalu mengorbankan sebahagian kebebasan mereka dan ditukar dengan jaminan keselamatan daripada Leviathan itu.

Hobbes menggunakan kaedah yang disebut sebagai logik negatif iaitu dengan melihat sesuatu itu daripada kosong(tiada). Dalam konteks ini, dalam usaha untuk melihat fungsi negara, haruslah dibubarkan dahulu negara tersebut terlebih dahulu(dalam minda). Jadi, apabila sudah terlihat akan fungsi dan kepentingannya, barulah sesuatu Negara itu akan tertubuh.
 
Absolutisme. Kerajaan mempunyai kuasa mutlak dalam menjaga keselamatan Negara serta mengelakkan berlakunya perang saudara dalam Negara tersebut. Ini berkait dengan saranan dalam prinsip rasional yang dibawa oleh beliau iaitu rakyat harus menerima otoriti politik kerajaan yang bersifat mutlak. Prinsip rasional ini juga untuk menjamin bahawa satu satu kerajaan itu akan bertahan dengan lama dan mengelakkannya daripada jatuh musnah. Juga, masyarakat perlu diingatkan dan disedarkan tentang 'sejarah derita' yang mungkin pernah berlaku dan menghantui mereka supaya pemberontakan tidak berlaku. 

Otoriti pemerintah yang disarankan juga memberi satu satu kerajaan itu kuasa mutlak dalam menjaga kestabilan sosial. Menggunakan nama keamanan, walau apa cara sekalipun yang diguna akan dilihat sebagai halal.

Ketaatan politik(political obedience) dan kewajipan politik(political obligation) berkait rapat dalam menjaga keamanan. Rakyat perlu lah menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi dalam mendapatkan kewajipan kerajaan untuk melindungi mereka. Jika sekiranya rakyat itu tidak taat, maka kerajaan tidak mempunyai kewajipan untuk melindungi mereka dari segala aspek. Jadi, atas nama keamanan, kerajaan dibolehkan untuk menggunakan kekerasan ke atas rakyat yang tidak patuh. Itu menjelaskan perkaitan dan hubungan antara ketaatan politik oleh rakyat dengan kewajipan politik yang perlu ditunaikan daripada kerajaan.
 

Sungguh mengecewakan apabila seseorang yang berstatus pensyarah tak dapat menjelaskan perkara ini kepada pelajarnya. Hal menjadi lebih mengecewakan apabila sifat profesionalisme yang sepatutnya dijunjung oleh seorang ahli akademik itu ditolak ke tepi semata mata kerana ketaatan kepada tuannya yang dilihat sebagai maksum. Rasional-instrumental serta aparatus yang berkaitan dengan teori falsafah Hobbes tak dijawab dengan profesional malah lebih teruk lagi, pelajar itu dihunjam dengan serangan yang bersifat dangkal hanya kerana isu yang dikaitkan itu terlalu besar.

Pensyarah tersebut bukan saja tak menjawab soalan malah secara terang terangan mempertahan tuannya berkaitan insiden yang berlaku pada 28 April yang lalu. Beliau yang dilihat sebagai seorang hamba yang taat menggunakan pendekatan yang dibawa oleh Hobbes dengan hujah yang tak masuk akal dan cetek. Penerangannya lebih menjurus kepada ceramah seorang politikus yang menyembah kepada satu bendera parti dan tidak seperti seorang pensyarah yang berkaliber.
 
Malahan, yang paling mengecewakan ialah apabila beliau dengan selamba memberitahu pelajarnya supaya bertanyakan soalan tersebut kepada yang lebih pakar. Masalahnya, jika beliau bukan seorang yang pakar, bagaimana beliau boleh diletakkan untuk mengajar subjek tersebut? Apakah nilai seorang ahli akademik itu wujud dalam diri beliau? Adakah beliau sedar yang beliau telah memalukan diri sendiri dan juga seluruh ahli akademik disebabkan jawapan bodoh yang beliau beri?
 
 
Jadi, saya selaku salah seorang yang gelisah dengan perjalanan akademik di universiti mengajak rakan rakan untuk menuntut kembali kebebasan akademik yang telah sekian lama dirompak oleh mereka. Tuntut pengajar yang berkualiti, bukan pembela politisi! Tuntut kebebasan berdiskusi, bukan kecaman keji! 
 
Sudah masanya untuk saya dan anda anda semua berdiri dan merobohkan tembok tinggi penjara yang telah sekian lama membelenggu kita semua. Jadi, tunggu apa lagi? Ayuh!







23 Apr 2012

Dataran Merdeka : Bulu, Air dan Minyak

Dataran Merdeka. Sebuah Dataran tempat berkumpulnya manusia dari pelbagai ceruk di Malaysia. Tempat untuk rakyat bertemasya dengan acara yang gilang gemilang sehingga terlupa akan fungsinya selaku ruang awam yang perlu dimakmurkan.

9 hari di Dataran Merdeka.

Sudah 9 hari, tapi Dataran masih dikotorkan dengan bulu, air dan minyak yang sedikit sebanyak menyebabkan pencemaran. Kelihatan, hampir tak ada langsung usaha untuk membersihkan bulu bulu yang bersepah. Minyak dan air tidak dilap untuk menjernihkan lantai Dataran. Individu individu yang bertanggungjawab kelihatan masih lepas tangan dan tak prihatin.


Penghuni Dataran sejak 9 hari yang lepas ialah sang elitis dan sang marhaen. Dua golongan ini dilihat bersatu dalam mempertahan tapak binaan mereka di Dataran daripada gangguan beberapa agensi, baik kerajaan mahupun swasta. Serangan demi serangan yang dilakukan daripada agensi terbabit tak dapat mematahkan semangat perjuangan sang elitis dan sang marhaen ini.

Pun begitu, di balik perpaduan atau solidariti yang digembar gemburkan, tersembunyi satu hakikat yang sangat sedih. Hakikat tragis yang mungkin tak disedari atau sengaja tak diambil peduli oleh sang elitis dan sang marhaen. Kelihatan tak ada kerjasama daripada kedua dua belah pihak untuk menyelesaikan isu bulu, air dan minyak yang kian meruncing. 


Bagi memudahkan pembaca, isu ini akan dipecahkan kepada dua iaitu ; 

a) bulu,
b) air dan minyak.


Pertama ialah isu bulu. Sang elitis dan sang marhaen dilihat masing masing menyimpan bulu sendiri dan tak bernafsu untuk berkongsi atau menyatukan bulu. Hal ini sangat menyedihkan apabila kedua dua kumpulan ini pada umumnya, berkongsi ruang yang sama tapi ia hanya terhenti setakat ruang Dataran itu sahaja. Komunikasi hanya dilakukan apabila perlu dan ruang perkongsian ide tak digunakan dengan sepenuhnya.


Sang elitis dengan gaya ala korporat mereka manakala sang marhaen dengan gaya konsulnya. Walau berbeza gaya, kedua duanya sama sama bernaung di bawah satu panji asasi. Mengapa? Mengapa panji asasi itu tak dapat menyatukan kedua dua gaya ini? Adakah kerana wujud satu stigma atau terdapat sentimen yang dimanipulasi berkenaan dengan bulu masing masing? Saya kira, persoalan itu hanya dapat dijawab oleh sang elitis dan sang marhaen sahaja.


Bagaimanapun, isu bulu ini sepatutnya tak wujud sama sekali kerana ia hanya akan meruntuhkan tapak binaan yang susah payah dipertahankan. Temboknya kelihatan kukuh tapi sayang, bahan yang diguna untuk membina tembok itu hanya polistren. Satu halusinasi dan dilusi yang dicipta(atau secara tak sengaja tercipta) untuk mengaburi mata pemerhati luar.



Kedua, isu air dan minyak yang merupakan kesinambungan daripada isu bulu. Sang elitis dan sang marhaen sedikit sebanyak pasti sedar bahawa mereka sebenarnya sedang mengotori Dataran itu sendiri. Seperti air dan minyak, saling berkongsi bekas tapi tidak bercampur. Itu contoh terbaik untuk menggambarkan situasi yang sedang berlaku.


Berkongsi tapak binaan dan ruang Dataran tapi terdapat satu dinding halimunan yang memisahkan kedua dua kumpulan ini daripada bersatu. Soalnya, bagaimana untuk sang elitis dan sang marhaen hendak menyelesaikan isu ini? Adakah dengan melepas tangan atau buat bodoh akan menjamin tak akan timbulnya masalah? Hal ini saya serahkan sendiri kepada anda dan anda untuk memikirkannya.


Hanya berpaksikan kesedaran sahaja tak cukup. Langkah susulan perlu diambil untuk menyelesaikan masalah air dan minyak ini. Perlu untuk menukar air dan minyak ini menjadi seperti teh dan susu. Apabila dicampur, akan membentuk satu cecair baru dengan sensasi yang lebih mengujakan. Lebih manis dan pekat. Sedap!

Jadi, saya berharap agar bulu bulu yang bersepah, air dan minyak yang tumpah dibersihkan dengan secepat mungkin. Jangan biarkan Dataran terus kotor dengan sisa sisa pejal atau cair ini lagi. Biar jerih, asal bersih!




Disclaimer : Artikel ini ditulis setelah lawatan sambil belajar dibuat pada hari Ahad, 22 April yang lalu bersamaan dengan hari ke-9 pendudukan sang elitis dan sang marhaen di Dataran Merdeka. Sebarang perkaitan langsung yang boleh menjurus kepada  perselisihan atau ketidakpuasan hati yang mungkin berlaku kepada pihak tertentu adalah bukan di bawah tanggungjawab penulis. Sekian, harap maklum.



Trend Aktivis Mahasiswa



Semalam, penulis melawat ke Dataran Merdeka untuk menyaksikan sendiri apa perkara yang berlaku di sana, tidak mahulah hanya dengan membaca timeline Twitter mahupun Malaysiakini. Menurut pemerhatian penulis, terdapat satu trend yang sejak dari dulu lagi kekal menjadi trend dalam kelompok aktivis mahasiswa (ketepikan Pergerakan Occupy terlebih dahulu), pidato sehala.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pidato merupakan sejenis pengucapan awam yang tidak interaktif dan bersifat sehala. Sejak dari dulu, demonstrasi kebebasan akademik, kini, di Dataran Merdeka, sesi berpidato telah menjadi satu kemestian sekiranya sesuatu protes atau demo itu melibatkan aktivis mahasiswa.

Permasalahannya di sini, apabila kita hanya sekadar berpidato (dan mengharapkan sorakan dan sambutan orang ramai), percambahan ilmu dan maklumat itu tidak dapat berlaku secara menyeluruh. Kita ambil contoh sekiranya pemidato berbicara tentang isu pemansuhan PTPTN, input yang pendengar bakal dapat hanyalah apa yang si pemidato tahu, itu pun kalau bernasib baik sekiranya apa yang dipidatokan itu berbentuk fakta ataupun ide. Malang sekiranya apa yang dipidatokan itu berbentuk spekulatif, sekaligus orang ramai yang mendengarnya hanya akan menerima input yang spekulatif sahaja.

Melalui penulisan yang tak seberapa ini, penulis cuba untuk menerapkan nilai berbincang atau berdebat, ataupun sekurang-kurangnya sesi soal jawab dalam sesuatu sesi berpidato. Hal ini bagi memberikan kebebasan untuk hadirin berfikir, menganalisa apa yang didebatkan/dibincangkan, sekaligus dapat memberikan input yang lebih banyak kepada masyarakat. Maklumlah, kita nak mencapai Wawasan 2020, perlukan modal insan yang berilmu, dan selain daripada metod pembelajaran di dalam dewan kuliah, perkara sebegini pun mampu mengasah minda masyarakat ke arah yang lebih matang.

Jika perkara 'pidato sehala' ini berterusan, tak ada bezalah aktivis mahasiswa ini dengan ahli-ahli politik yang bertebaran di luar sana. Cakap berdegar-degar, tapi tidak ada ruang untuk berdiskusi.

Benarlah apa yang pak-pak menteri cakap, berdebat bukan budaya kita. Akan tetapi, penulis sangat berharap agar budaya berdebat ini dapat dijadikan sebagai norma, bukan sahaja melalui pertandingan debat ala parlimen yang penuh dengan 'propaganda'.

20 Apr 2012

Assalammualaikum dan salam sejahtera,
Pertama sekali, ucapan terima kasih dan penghargaan kerana sudi menerima saya untuk menjadi sebahagian daripada penulis yang terlibat dalam blog ini. Blog ini saya kira adalah antara wadah yang terbaik buat kita dalam menyalurkan idea.
Nama yang saya gunakan atau nama pena ialah Bani Jawi. Kenapa Bani Jawi? Kerana nama ini diperoleh daripada penceritaan seorang guru kepada pelajarnya pada tahun 2009 saat menuntut di peringkat menengah.
Saya adalah antara mahasiswa dalam pengajian politik. Kenapa politik? Kerana impak pendedahan dan galakan seorang guru pada tahun 2010 yang sangat bersemangat tatkala bicara soal politik.
Saya ingin belajar sehingga ke luar negara. Kenapa luar negara? Kerana gadis yang pernah bertempat di hati saya adalah antara mahasiswi yang sedang menuntut di luar negara. Jadi tidak boleh kalah.
Akhir tulisan, semoga penulisan saya diterima baik.

19 Apr 2012

DUDUK BANTAH : Mengapa Anda Perlu TURUN?


Sejak 4 April yang lalu, sudah heboh diperkatakan perihal Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April ini di Dataran Merdeka. Kali ini, Bersih 3.0 dipengerusikan oleh Dato' A. Samad Said yang merupakan sasterawan negara. Pelbagai respon, spekulasi dan tak kurang juga cemuhan telah disuarakan.

Tak perlu dihuraikan dengan lebih lanjut tentang 8 tuntutan tersebut. Kewajaran untuk mengadakan Bersih 3.0 juga turut dipersoalkan. Berkenaan Parliamentary Select Committee(PSC) : On Electoral Reforms, terdapat dua percanggahan hujah antara Barisan Nasional(BN) dan Pakatan Rakyat(PR). 

Pihak BN mengatakan bahawa hanya SATU TUNTUTAN yang TIDAK DIPENUHI iaitu tempoh minima kempen 21 hari. 

Manakala di pihak PR pula, mereka mengatakan hanya SATU TUNTUTAN sahaja yang telah DIPENUHI yakni penggunaan dakwat kekal.

Sebagai salah seorang individu dalam masharakat warga yang teruk terjejas di negara ini, kita tak dapat lari daripada terpengaruh dengan salah satu propaganda, baik daripada BN mahupun PR. Penting untuk diambil perhatian, pergulatan antara kedua  dua kuasa tersebut tak perlu kita kisahkan. Perkara pokok di sini ialah, tugas kita selaku individu prihatin yang menghuni dalam satu komuniti, masyarakat dan seterusnya negara. 

Jadi, mengapa anda perlu turun ke Dataran pada 28 April ini?

Tugas anda selaku warganegara meletakkan satu tanggungjawab yang besar untuk dipikul. Bahkan, bukan anda seorang sahaja, tetapi juga saya dan seluruh individu yang bergelar rakyat Malaysia. Selaku seorang warganegara yang bertanggungjawab, adalah perlu untuk anda memastikan bahawa Negara dipilih, ditadbir dan dikelola oleh pemerintah yang anda rasakan paling layak melalui proses pemilihan yang ADIL. Tak dapat disangkal, sistem pilihanraya di negara kita terlalu banyak kepincangannya. Menjadi tanggungjawab kita selaku warga yang prihatin untuk menuntut satu proses yang adil dan tidak berat sebelah. Ya, itu tanggungjawab kita bersama, bukan orang lain lagi.

Selaku individu yang hidup pada zaman yang mana perkataan 'Demokrasi' itu acap kali dilaungkan, adalah perlu untuk kita fahami apa itu sebenar benarnya demokrasi. Juga bagaimana kita selaku warga yang bertanggungjawab, memastikan demokrasi itu wujud di negara yang kian parah ini. Usah bilang anda seorang penganjur demokrasi jika anda tak nampak kepincangan, penyelewengan serta kebobrokan yang berlaku dalam sistem pilihanraya negara ini.



Bersih 3.0 merupakan sebuah ruang untuk anda menyatakan pendirian anda dengan lantang supaya didengar oleh 'mereka' yang di atas sana. Jangan terlalu selesa dengan kenikmatan tak seberapa yang sedang anda nikmati sekarang.

Ayuh! Jumpa anda di Dataran 28 April ini.