31 Mac 2012

RE-FOR-MA-SI! Tin kosong di tengah jalan.

Reformasi. Satu perkataan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat negara ini terutama selepas 1998. Perkataan reformasi diambil daripada bahasa Inggeris iaitu reformation atau kata dasarnya reform. Jika dilihat dalam konteks bahasa, reformasi membawa maksud pembaharuan atau penambahbaikan yang tidak radikal dan secara perlahan-lahan. Justeru, reformasi sama sekali bertentangan dengan revolusi yang membawa maksud perubahan secara radikal dan mengejut. Jadi tidak hairan jika umum lebih toleran terhadap apa yang disebut sebagai reformasi itu sendiri dan menolak revolusi.


Mengapa Reformasi?
Umum mungkin tertanya-tanya. Mengapa Reformasi? Penulis juga begitu. Setelah mendapat sedikit pencerahan tempoh hari, baru penulis faham mengapa perkataan reformasi yang menjadi pilihan. Reformasi mempunyai salasilah sejarah yang sangat panjang. Bermula seawal kurun ke-16, gerakan reformasi pertama kali dicetuskan oleh seorang reformis yang mungkin tidak asing lagi bagi kita iaitu Martin Luther. Beliau merupakan pencetus gerakan reformasi atau reformation yang menentang penguasaan dan kebobrokan gereja Katolik orthodoks yang telah menyalahgunakan kuasa dan agama pada ketika itu. Bertitik-tolak dari itu, muncul pula aliran baru dalam agama Kristian yang dinamakan Protestan.

Jadi, perkataan reformasi merupakan perkataan yang paling sesuai kerana ia mempunyai asas dan fundamental yang kukuh berdasarkan sejarah. Reformasi juga mempunyai konotasi yang melambangkan perjuangan untuk menuntut sesuatu yang lebih baik atau dalam konteks masakini yang lebih popular, perjuangan rakyat menuntut hak. Pemilihan istilah atau perkataan merupakan satu perkara yang sangat penting untuk menjadi wadah perjuangan sesuatu pihak. Istilah yang tidak punya makna yang jelas boleh mengakibatkan sesuatu perjuangan itu terbantut dek kecetekan yang ada pada maksud istilah itu sendiri.


Masalah Reformasi.
Di sebalik laungan-laungan ‘Reformasi’ yang sering diazankan oleh para reformis, walau tampak bertenaga dan padu tetapi hakikat sebenarnya kosong. Ya. Satu hakikat yang sangat menyedihkan yang sedang berlaku dalam kalangan penggerak Reformasi masakini khususnya aktivis mahasiswa. Mereka terlalu taksub dan ghairah memperjuangkan apa yang mereka panggil sebagai Reformasi sehingga mereka terlupa untuk mencari makna di sebalik perkataan keramat itu. Reformasi superficial yang dibawa oleh mereka seolah-olah hanya terhad di jalanan dan pelbagai forum yang tidak mempunyai elemen perbincangan yang mantap. Jadi tidak hairan lah jika masyarakat cenderung untuk mentafsirkan Reformasi itu sebagai demonstrasi. 

Permasalahan yang berlaku ini sebenarnya berpunca daripada aktivis mahasiswa itu sendiri. Ramai aktivis yang tidak membaca (atau malas membaca) dan jika ada pun, bacaan yang dilakukan hanya semata-mata untuk menguatkan atau mengisi hujah-hujah mereka sedangkan kefahaman tentang bacaan itu tidak ada! Ini satu penyakit yang serius dan semakin menular menjadi wabak. Pembacaan dan kefahaman perlu diperkuat dalam diri setiap aktivis mahasiswa sebelum mereka mula mencanangkan pembawaan mereka. Satu soalan. Bagaimana anda mahu memahamkan orang lain tentang idea yang anda bawa sedangkan anda sendiri tidak tahu apa yang anda perjuangkan? Jangan jadi seperti tin kosong yang tergeletak di tengah jalan. Kuat berbunyi, tapi tak punya isi.


pascaskrip : Aktivis masakini terlalu ghairah untuk membebaskan orang lain sedangkan minda mereka sendiri masih belum terbebas.

13 Mac 2012

Subjek, Parokial dan Partisipan: Suatu Krisis Budaya

Subjek merupakan golongan yang menurut secara membuta tuli. Golongan ini cenderung untuk menunjukkan taat setia tanpa mempersoalkan ketua atau parti yang diturutnya.
 
Parokial pula merupakan golongan yang langsung tidak ambil pusing hal hal sekeliling. Cuma berada dalam ruang lingkup yang sangat kecil iaitu diri dan keluarga.

Manakala partisipan ialah golongan yang peka dengan keadaan sekeliling. Sering ambil tahu mengenai isu isu semasa dan sosial. Golongan ini tidak menyokong dengan membuta tuli, tetapi mempertimbangkan sesuatu isu berdasarkan pemerhatian dan analisis yang dibuat.

Bersama, ketiga tiga golongan ini membentuk satu budaya politik yang boleh dilihat dalam konteks sosial, masyarakat Malaysia khususnya. Tak dinafikan, golongan golongan ini akan sentiasa wujud dalam masyarakat dan boleh dikatakan saling melengkapi antara satu sama lain. Tetapi, permasalahan akan berlaku apabila terdapat pertindihan atau overlapping dan pertentangan antara satu satu golongan dengan yang lain. Serta, permasalahan juga akan berlaku apabila satu satu golongan dilihat terlalu banyak dan melampaui golongan yang lain.

Kedua dua permasalahan ini boleh dikatakan amat serius kerana ia mencorakkan budaya politik di Malaysia. Pertama, apabila berlaku pertentangan antara dua. Ini boleh dilihat dengan jelas apabila subjek berselingkuh dengan partisipan. Keadaan ini acap kali berlaku apabila subjek, yang secara buta tuli menyokong ketua masing masing menyerang partisipan yang bertindak selaku pemerhati dan penilai. Kebanyakan partisipan merupakan golongan atas pagar dan tidak memihak kepada sesiapa. Jadi, mereka sering dikecam oleh subjek atas alasan tidak punya pendirian. Subjek juga tidak setuju dengan cara partisipan yang dilihat sering membangkang dan mengkritik, tidak mengira kritikan itu ditujukan kepada siapa baik kerajaan mahupun pembangkang. Keadaan bertambah buruk apabila hujah yang dikemukakan oleh partisipan dibalas dengan kecaman atau lebih teruk lagi, kekerasan daripada subjek.

Permasalahan yang kedua adalah berlakunya lebihan satu satu golongan yang terlampau. Budaya politik di Malaysia kelihatan didominasi oleh golongan parokial yang tidak ambil kisah. Ini merupakan suatu keadaan yang sangat merunsingkan. Ramainya orang yang tidak ambil kisah akan menyebabkan kurangnya proses timbal balas atau check and balance. Serta, parokial ini amat mudah untuk dimanipulasi oleh sesetengah pihak yang berkepentingan.
 
Cadangan penyelesaian ialah dengan membudayakan pertembungan idea yang kritis dan kritikal. Tidak hanya sekadar ulasan berdasarkan laporan berita semata mata tetapi hujah yang dikemukakan perlulah berdasarkan analisis yang telah dilakukan. Dengan menjadikan pertentangan idea sebagai satu budaya, minda masyarakat akan lebih terbuka dan isu serta kes dapat dibincangkan dengan lebih "sihat".

Cadangan yang lain adalah dengan memberi keterbukaan dalam penyampaian maklumat. Kebebasan media khususnya perlulah dititikberatkan. Punca masyarakat menjadi parokial salah satunya adalah ketiadaan ruang atau medium untuk mendapatkan maklumat yang adil untuk dinilai dan dibuat perbandingan. Jika penyampaian maklumat adalah setara, masyarakat akan lebih terbuka dan lebih berminat untuk mengambil tahu akan isu isu semasa yang sedang berlaku. Jadi, jumlah masyarakat yang parokial akan berkurangan dan secara tidak langsung akan membawa satu perubahan yang positif dalam budaya politik setempat.

Sedikit huraian permasalahan dan tidak menyeluruh tetapi sudah cukup untuk menggambarkan betapa terjejasnya budaya politik di Malaysia. Jika tiada langkah atau tindakan yang dilakukan untuk memperbetulkan kembali situasi ini, maka tidak mustahil masyarakat akan terus menjadi bodoh dan mudah untuk diperbodohkan.


11 Mac 2012

Prakata

Cubaan satu, dua, tiga..

Meja Patah merupakan sebuah belog yang menampilkan pelbagai idea, kritikan dan juga ulasan ulasan bangang bertaraf amatur daripada pelbagai penulis yang mempunyai gaya penulisan tersendiri. Masih baru dan dalam pembikinan.

Meja merupakan simbolik kepada satu ruang bicara atau diskusi. Tidak mengira bentuk; bulat, empat segi, heksagon atau apa saja. Meja merupakan satu ruang di mana setiap individu bebas melontarkan pendapat atau kritikan masing masing. Meja juga menjadi satu ruang untuk merapatkan hubungan sesama makhluk.

Manakala Patah pula tidak mempunyai makna asas. Sekadar penyambung kata kepada Meja.

Tak ada apa lagi yang hendak diberitahu. Sekian.